Sunday 13 February 2011

Cinta yang Memotivasikan

14 Februari tiba. Valentine’s Day. Itu yang selalunya orang gelar buat hari itu. Hal cinta paderi bernama Valentine yang menginspirasikan masyarakatnya akan cinta.

Walaupun itu adalah sambut orang Kristian, tetapi nampaknya orang-orang Islam turut menyambutnya seakan-akan hari itu adalah hari mereka juga, dan seakan-akan Paderi Valentine itu adalah contoh mereka juga dalam bercinta.

Maka hari ini, saya suka hendak ketengahkan satu susuk peribadi unggul, bersama cinta baginda buat kita. Sebagai motivasi bukan sahaja untuk menjadi seorang pencinta yang unggul, tetapi juga sebagai motivasi untuk kuat meneruskan kehidupan, dan motivasi untuk terus gigih mencapai kejayaan akhirat.

Itulah dia cinta Rasulullah SAW.

Cinta baginda yang ikhlas.

Pertamanya kita pulang melihat akan akar umbi cinta baginda. Ya, akar umbi. Apakah yang memulakan cinta seorang Rasulullah SAW?

Keimanan baginda kepada Allah SWT. Itulah yang memulakan cinta seorang Rasulullah SAW. Allah SWT mendidik baginda untuk menjadi seorang yang ‘caring’ dan bertanggungjawab.

Daripada seorang manusia yang hanya beruzlah menyelamatkan diri sendiri daripada kerosakan masyarakat, selepas mendapat wahyu, baginda menjadi seorang yang terjun ke tengah masyarakat untuk menyelamatkan mereka. Apakah yang mengubah baginda?

Keimanan baginda kepada Allah SWT.

“Wahai orang yang berselimut! Bangunlah serta berilah peringatan dan amaran (kepada umat manusia)” Surah Al-Muddaththir ayat 1 dan 2.

Jika bukan kerana baginda beriman kepada Allah SWT, maka baginda tidak akan berani bersusah payah menerima risiko diperangi. Baginda tidak akan mengambil risiko untuk dipulau dan dihalau.
Tetapi keimanan baginda kepada Allah SWT, mengasuh cinta baginda menjadi kebal, menyebabkan baginda menerima semua risiko, untuk menyelamatkan ummatnya.

Baginda tidak mengharapkan yang lain, selain kebahagiaan ummatnya. Baginda tidak mengharapkan balasan harta, selain ketaatan ummatnya kepada Allah SWT. Baginda tidak mengharapkan puja-pujaan, selain ketundukan ummatnya kepada Allah SWT. Baginda tidak mengharapkan pangkat dan tahta, selain kepatuhan ummatnya kepada Allah SWT. Kerana ketaatan ummatnya kepada Allah SWT, menjamin keselamatan setiap diri ummatnya.

Tidakkah kita melihat?

Cinta baginda yang teramat utuh.

Lihat sebentar dalam satu peristiwa baginda yang menyayat hati kita.

Ketika baginda berusaha berdakwah di satu tempat bernama Taif, baginda dibaling batu hingga cedera dan berdarah-darah.

Apabila Allah menghantar malaikat untuk menawarkan diri menghapuskan kaum Taif itu, Rasulullah melarang.
“Harapnya nanti, muncul dari tulang belakang mereka, orang yang beriman kepada Allah.”

Hingga begitu sekali. Bahkan, tidak cukup dengan kata-kata itu, baginda berdoa pula mengadu kepada Allah SWT. Bukan mengadu akan sikap kaum Taif yang kurang ajar, tetapi mengadu akan kemungkinan bahawa kelemahan dirinya yang menyebabkan Kaum Taif tidak menerima hidayah Allah SWT.


“Wahai Tuhanku, kepada Engkau aku adukan kelemahan tenagaku dan kekurangan daya-upayaku pada pandangan manusia. Wahai Tuhan yang Maha Rahim kepada siapa Engkau menyerahkanku? Kepada musuh yang akan menerkamkan aku ataukah kepada keluarga yang engkau berikan kepadanya uruskanku, tidak ada keberatan bagiku asal aku tetap dalam keredhaanMu. Pengetahuan Mu lebih luas bagiku. Aku berlindung dengan cahaya mukaMu yang mulia yang menyinari segala langit dan menerangi segala yang gelap dan atasnyalah teratur segala urusan dunia dan akirat, dari Engkau menimpakan atas diriku kemarahanMu atau dari Engkau turun atasku azabMu kepada Engkaulah aku adukan permasalahanku sehingga Engkau redha. Tidak ada daya dan upaya melainkan dengan Engkau”

Cinta baginda langsung tidak terpadam dengan hinaan, makian, cacian. Sedikit pun cinta baginda tidak bertukar menjadi benci hanya dengan seksaan. Ini jelas membuktikan betapa kukuhnya cinta baginda, yang terbina atas keimanan kepada Allah SWT tadi. Memang bukan harta yang diminta baginda, memang bukan pujaan yang dicari, tetapi baginda hanya mahu ummatnya kembali kepada Ilahi, menjamin keselamatan mereka sendiri.

Cinta baginda tiada tolok bandingnya

Semasa pembukaan Makkah, pada hari kemenangan Rasulullah SAW, kaum musyrikin Makkah ketakutan kerana risau. Risau Rasulullah SAW membalas dendam ke atas mereka, kerana mereka tahu apa yang mereka pernah lakukan terhadap Rasulullah adalah amat menyakitkan hati sesiapa yang melihatnya.
Tetapi apabila baginda ditanya akan nasib Musyrikin Makkah, apakah jawapan baginda?

Baginda memulangkannya dengan soalan: “Apakah yang kamu sangka, aku akan lakukan?”

Kaum Musyrikin Makkah menjawab: “Kau akan mengampunkan kami.”

Rasulullah SAW tersenyum, dan menjawab: “Hari ini, aku maafkan kamu semua.” Dan membaca satu ayat daripada Surah Yusuf:

“Yusuf berkata: Kamu pada hari ini tidak akan ditempelak atau disalahkan (tentang perbuatan kamu yang telah terlanjur itu), semoga Allah mengampunkan dosa kamu, dan Dia lah jua Yang Maha Mengasihani daripada segala yang lain yang mengasihani.” Surah Yusuf ayat 92.

Baginda bukanlah pendendam. Cinta baginda melangkaui segala kesukaran yang ditimpakan ke atas baginda. Sedikit pun cinta itu tidak tergoyah. Sedikit pun cinta itu tidak tergoyang. Asalkan ummat baginda kembali kepada Allah SWT, tidaklah baginda akan mengungkit dosa mereka yang lama.

Maka pada peristiwa Fathu Makkah itu juga kita dapat melihat bagaimana Rasulullah SAW mengampunkan Hindun binti Utbah, isteri kepada Abu Sufyan yang memakan hati Hamzah RA, paman kecintaan Rasulullah SAW. Kita lihat juga bagaimana Rasulullah SAW mengampunkan Wahsyi yang membunuh Hamzah RA. Dan kita lihat juga bagaimana Rasulullah SAW menerima kembali Ikrimah bin Abu Jahal yang menentang kemasukan baginda pada peristiwa Fathu Makkah itu.

Cinta siapakah lebih unggul daripada cinta baginda ini?

Cinta siapa?

Cinta siapa?!

Cinta baginda kepada kita

Dan ramai yang tidak tahu, betapa cintanya baginda kepada ummat selepasnya.

Satu hari, Rasulullah SAW bersabda: “Aku merindui ikhwanku.” Para sahabat yang mendengar menjawab: “Bukankah kami ini ikhwanmu ya Rasulullah?” Rasulullah menjawab: “Tidak, kalian adalah sahabatku. Ikhwanku adalah mereka yang hidup selepasku, tetapi mereka beriman kepadaku sedangkan mereka tidak pernah bertemu denganku.” – Hadith Riwayat Bukhari.

Kita sorot kembali perjuangan baginda. Sekiranya baginda tidak bersusah payah dahulu, kita hari ini jadi apa? Dapatkah kita merasai nikmat iman dan nikmat Islam yang merupakan kunci kepada syurga?

Sekiranya bukan darah baginda yang tumpah, sekiranya bukan peluh baginda yang terperah, adakah mungkin Islam akan tersebar hingga kita hari ini dapat merasainya?

Rasulullah SAW nyata mengajar kita bagaimana menjadi pencinta yang sebenar bukan?

Pencinta yang sebenar adalah seperti Rasulullah SAW. Yang cintanya ikhlas. Tidak mengharapkan balasan. Yang diketahui hanyalah keselamatan orang yang dicintai. Maka apakah yang lebih selamat berbanding mendapat syurga Ilahi?

Kita perhatikan semula.

Baginda merindui kita. Islam itu, baginda harapkan agar sampai kepada kita.
Tetapi apakah kita merindui baginda?
Cinta baginda ini, ke mana kita lemparkan?
Kita letak di dalam hati, atau kita buang entah ke mana-mana?

Tetapi hari ini, baginda yang mencintai kita itulah yang kita tinggalkan. Hari ini, kita lebih ingat Paderi Valentine daripada Rasulullah SAW. Rasulullah SAW yang mencintai kita, itulah yang kita tinggalkan. Sedangkan baginda mengajak kita ke syurga Allah SWT. Sedangkan baginda risaukan kita. Sedangkan kita ini, amat dekat di dalam hati baginda hingga baginda merindui kita. Tetapi kita?

Kita melupakan baginda. Kita ambil cara hidup lain. Kita ambil cinta lain selain yang diajarkan oleh baginda. Baginda bukan contoh kita. Kisah baginda tidak kita ketahui. Sirah baginda malas kita selak. Sunnah baginda kita campak ke tepi.

Ummat jenis apakah kita ini?

Tahun ini Allah menyusun Valentine’s Day berhampiran dengan Maulid Rasulullah SAW. Sambutan yang manakah lebih teruja untuk disambut oleh kita?

Inilah dia garisan. Sama ada kita ummat Rasulullah SAW, atau kita hakikatnya tunduk kepada cara hidup yang bukan Rasulullah SAW anjurkan.

Cinta. Apakah cinta kalau melempar ke neraka.
Dan lihatlah Rasulullah SAW. Ke manakah baginda membawa kita?
Adakah sama tempatnya dengan ke mana cinta Valentine membawa kita?

http://langitilahi.com

Thursday 9 December 2010

Tribute Muharram



Muharram (محرّم) adalah bulan pertama dalam Sistem Takwim Hijrah (Hijriah). Pada asasnya, Muharram membawa maksud ‘diharamkan’ atau ‘dipantang’, iaitu Allah SWT melarang melakukan peperangan atau pertumpahan darah. Namun demikian larangan ini ditamatkan setelah pembukaan Makkah (Al Baqarah: 91).
Sejak pemansuhan itu, umat Islam boleh melaksanakan tugas dan ibadat harian tanpa terikat lagi dengan larangan berkenaan. Rasulullah s.a.w telah menamakan bulan Muharram sebagai bulan Allah (shahrullahi).
Sandaran yang dilakukan oleh nabi kepada Allah s.w.t lantaran kemuliaan dan kelebihan bulan ini kerana sesungguhnya Allah s.w.t tidak merujukkan kepadaNya melainkan oleh golongan khowas (terkhas) di kalangan makhluk – makhlukNya.

Daripada Al-Hassan Al-Basri rahimahumullah sesungguhnya Allah s.w.t telah membuka lembaran tahun baru di dalam takwim Islam dengan bulan Muharram. Tidaklah kedapatan bulan yang lebih mulia dalam takwim Islam di sisi Allah s.w.t itu selepas bulan Ramadhan melainkan bulan Muharram. Ianya dinamakan bulan Allah yang khas disebabkan besarnya kehormatannya.

1) 10 Muharram – Dinamakan juga Hari Asyura. Pada hari itu banyak terjadi peristiwa penting yang mencerminkan kegemilangan bagi perjuangan yang gigih dan tabah bagi menegakkan keadilah dan kebenaran.

2) Nabi Adam bertaubat kepada Allah.

3) Nabi Idris diangkat oleh Allah ke langit.

4) Nabi Nuh diselamatkan Allah keluar dari perahunya sesudah bumi ditenggelamkan selama enam bulan.

5) Nabi Ibrahim diselamatkan Allah dari pembakaran Raja Namrud.

6) Allah menurunkan kitab Taurat kepada Nabi Musa.

7) Nabi Yusuf dibebaskan dari penjara.

8) Penglihatan Nabi Yaakob yang kabur dipulihkkan Allah.

9) Nabi Ayub dipulihkan Allah dari penyakit kulit yang dideritainya.

10) Nabi Yunus selamat keluar dari perut ikan paus setelah berada di dalamnya selama 40 hari 40 malam.

11) Laut Merah terbelah dua untuk menyelamatkan Nabi Musa dan pengikutnya dari tentera Firaun.

12) Kesalahan Nabi Daud diampuni Allah.

13) Nabi Sulaiman dikurniakan Allah kerajaan yang besar.

14) Hari pertama Allah menciptakan alam.

15) Hari Pertama Allah menurunkan rahmat.

16) Hari pertama Allah menurunkan hujan.

17) Allah menjadikan ‘Arasy.

18) Allah menjadikan Luh Mahfuz.

19) Allah menjadikan alam.

20) Allah menjadikan Malaikat Jibril.

21) Nabi Isa diangkat ke langit

Thursday 11 November 2010

Sambut 10 hari & malam Zulhijjah


Kebanyakan muslim telah sedia maklum tentang kelebihan yang tersedia pada malam Ramadan, terutama pada sepuluh malam terakhir. Namun, tidak semua orang tahu bahawa sepuluh hari pertama bulan terakhir dari bulan Islam, Dzul Hijjah, juga dipenuhi dengan kelebihan yang sama.

Allah telah memberikan banyak peluang kepada muslim pada sepanjang tahun untuk mereka memperbaharui iman mereka dan untuk mendorong mereka ke arah kebaikan dengan menentukan hari-hari yang istimewa. Jadi, kita masih mempunyai kesempatan dan kita tidak harus membiarkan peluang ini hilang begitu saja seperti sebelum ini.

Allah berfirman dalam al-Quran dalam Surah Al-Fajr (terjemahan):

"Demi fajar, dan malam yang sepuluh, " [Al-Fajr 89:1-2].

Kebanyakan ulama' bersetuju bahawa sepuluh malam ini merujuk kepada sepuluh malam pertama Zulhijah. Ibnu Kathir juga telah membenarkan pendapat ini dengan menyatakan: "Ini adalah pendapat yang benar." [Tafsir Ibnu Katsir, 8 / 413]

Ibnu 'Abbas melaporkan bahawa Rasulullah (sallallahu alaihi wa sallam) berkata,

"Tiada amalan baik yang dilakukan pada hari-hari lain yang lebih unggul dari amalan-amalan yang dilakukan pada bulan zulhijjah."

Di antara amalan yang digalakkan pada sepuluh hari ini adalah berpuasa sunat, menawarkan korban binatang (biri-biri, kambing, dll), bertaubat dengan ikhlas, membaca Quran, melakukan solat malam dan akhirnya menunaikan solat `eid pada hari kesepuluh Dzul Hijjah .

Hafsah melaporkan, "Ada lima perkara yang tak pernah ditinggalkan oleh Rasul (s.a.w.): puasa hari 'Asyura, puasa yang 10 [iaitu pada hari pertama Zulhijah], puasa 3 hari pada setiap bulan dan solat dua rak'aat sebelum solat subuh ". [diriwayatkan oleh Ahmad dan An-Nasa'i].

Abu Hurairah menceritakan bahawa Rasulullah (s.a.w) berkata, "Tidak ada hari yang lebih dicintai oleh Allah untuk anda beribadah padanya berbanding sepuluh hari Dhul Hijjah. Berpuasa pada mana-mana hari sepanjang waktu itu adalah sama dengan puasa satu tahun, dan melakukan solat Tahajjud (solat malam) pada mana-mana malam sepanjang tempoh itu adalah seperti melaksanakan solat malam pada malam al-qadr."[diriwayatkan oleh Tirmidzi, Ibnu Majah, dan al-Baihaqi].

Nabi (s.a.w) memerintahkan kita untuk mengucapkan banyak Tasbeeh ("Subhan-Allah"), tahmid ("Al-hamdu Lillaah") dan takbir ("Allaahu Akbar") selama waktu ini. 'Abdullah bin' Umar (radhiallahu 'anhuma) melaporkan bahawa Nabi (s.a.w) berkata: "Tidak ada hari yang lebih agung pada pandangan Allah dan tiada amalan-amalan yang lebih dicintaiNya berbanding sepuluh hari ini , jadi pada waktu ini banyakkanlah bertahleel ("La ilaaha ill-Allah"), takbir dan tahmid ". (HR Ahmad, 7 / 224; Ahmad Shaakir menyatakan bahawa itu adalah sahih).

Jadi, sebagai seorang muslim kita harus menyambut hari ke-sepuluh Dzul Hijjah dengan semangat dan kesungguhan yang sama seperti kami menyambut sepuluh hari terakhir bulan Ramadan atau hari-hari besar yang lain. Marilah kita berusaha semampu mungkin.

SALAM BERAMAL!!~

Saturday 30 October 2010

Bangun Pagi-pagi...

Bila diri bangun di pagi hari ...
Titipkanlah rasa syukur di hatimu kepada Allah ...
Ya Allah, terima kasih kerana menghidupkan lagi aku hari ini.
Lantas ucapkanlah doa warisan Junjunganmu Nabi Muhammad SAW;
“Segala puji bagi Mu Ya Allah yg masih menghidupkan aku selepas kematianku dan hanya kepada Mu tempat aku kembali ..."

Bila diri bangun di pagi hari...
Bangkitlah dengan rasa kerdilnya diri kepada Allah ...
Dengan izinNya engkau mampu bangun untuk meneruskan lagi kehidupan.
Sucikanlah hati dan zahir dirimu dengan berwuduk..
Rebutlah peluang di akhir sepertiga malam untuk sujud kepadaNya ....
Meraih kasih jua rahmatNya ..
Moga dipimpin hidupmu di dunia.

Bila azan bermandang...
Bersegeralah wahai diri ...
Tunaikanlah kewajipanmu...
Hadapkanlah diri beserta hatimu kepadaNya...
Dengan penuh rasa kerdilnya diri, lemahnya diri ini ya Allah...

Sedarilah hakikat dirimu sebagai hambaNya ...
Dan ketahuilah sesungguhnya solatmu di pagi ini disaksikan oleh para malaikat.
Lalu di sujud yang terakhir, mohonlah kepada Allah ...
Semoga dosa-dosamu diampun olehNya ,
Semoga hatimu tidak akan goyah dengan dunia.
Mintalah kekuatan kepada Allah.
Untuk menghadapi hidup seharian ini dengan penuh keimanan dan ketaqwaan kepadaNya,
Moga bertambah sifat kehambaan dalam dirimu ...
Moga kan bersinar cahaya imanmu.

Bisikkanlah jua di hati nuranimu ...
Rasa pengharapan agar diberi nusrah dalam menjaga kewajipanmu ...
Bersegera dalam menunaikan solat beserta rasa khusyuk dan takut kepadaNya semata ...
Dimudahkan dalam melakukan amal soleh sebagai bekalmu..

Apabila tiba hari pertemuan denganNya di akhirat nanti.
Mohonlah perlindunganNya agar dijauhkan dirimu daripada hasutan dan bisikan syaitan laknatullah,
Kejahatan manusia yg tidak beriman dan keburukan sifat mereka yang munafik...
Dan merintihlah lagi kepada Allah...
Berilah kekuatan kepada dirimu dalam melakukan amal bakti terhadap orang tuamu dan kaum kerabatmu,
Moga terpelihara lidah jua tanganmu daripada menyakiti hamba-hambaNya ....
Dan mintalah kepadanya hati yang cekal dan tabah ..
Moga kuat semangatmu dalam bermujahadah ..
Moga tidak luntur roh perjuanganmu dalam membela agamaNya!!

Dan insafilah wahai diri...
Tidak ada yang lebih berharga selain daripada redhaNya,
Tidak ada yang lebih bahagia selain daripada cintaNya..
Dan tidak ada yang lebih bermakna dalam kehidupan di dunia ini..
Selain hidayah jua pimpinanNya ... 

Wahai Diri..

Saturday 25 September 2010

Gabung Puasa Sunat 6 Syawal & Puasa Qadha?

Isu menggabungkan puasa qadha dan syawal sememangnya amat popular, pandangan ringkas saya adalah seperti berikut :-

Tidak elok untuk menggabungkan kedua-duanya bagi mereka yang mampu (dari sudut kesihatan tubuh dan lain-lain) untuk memisahkannya. Ini kerana sepengetahuan saya tiada dalil yang spesifik membuktikan Nabi SAW pernah melakukannya atau menganjurkan kepada para sahabat untuk menggabungkannya.
Apabila Nabi, sahabat dan salaf soleh tidak melakukannya maka pastinya ia bukanlah amalan yang terpilih dan terbaik kerana pilihan Nabi SAW dan para sahabat selamanya adalah yang terbaik.
Malah terdapat juga hujjah-hujjah yang menyebabkan pandangan yang yang mengharuskan penggabungan ‘qadha dan ganti’ itu dipersoalkan, iaitu :-

1. Jika seseorang mengatakan boleh gabung puasa qadha (yang wajib) dengan puasa syawwal (yang sunat) maka sudah tentu selepas ini timbul pula individu yang cuba menggabungkan solat wajib dengan solat sunat, seperti gabungan solat isyak dengan terawih, atau subuh dengan ‘tahiyyatul masjid’ atau dengan solat sunat fajar, atau solat jumaat dengan solat sunat ‘tahiyyatul masjid’. Maka ini pasti menyebabkan masalah lain timbul dalam ibadah wajib termasuk rekaan-rekaan pelik seperti solat fardhu subuh campur istikharah dan lain-lain.

2. Menurut Prof. Dr Syeikh Abd Malik as-Sa’dy (ex-Lajnah Fatwa Iraq) dan Prof Dr Mohd ‘Uqlah el-Ibrahim (Jordan) mereka berpendapat bahawa amalan wajib tidak boleh digabungkan dengan apa-apa amalan wajib atau sunat lain, kerana amalan wajib memerlukan tumpuan khusus yang tidak berbelah bahagi semasa pelaksanaannya dan ia perlu bagi mengangkat tuntutan kewajibannya. Justeru, tindakan menggabungkan ini pasti mengurangkan kesempurnaan hamba dalam menunaikan tuntutan wajib mereka. Wallahu a’lam.

3. Tindakan A’isyah ra yang melewatkan Qadha pula boleh di jadikan hujjah bahawa beliau mengasingkan kedua-dua puasa Qadha dan Syawwal. Maka ini lah yang terpilih sepatutnya. (tidak gabungkan kerana aisyah tidak menggabungkannya) . Aisyah menyebut :
كأن يكون عليّ الصيام من شهر رمضان فما أقضيه حتى يجئ شعبان
Ertinya : Kewajiban ke atasku untuk puasa (Qadha) dari puasa Ramdhan, tidaklah aku menggantinya sehingga datang sya’ban” ( Riwayat Muslim, no 101)

4. Amalan wajib (qadha) memerlukan niat yang ‘jazam’ (tepat dan pasti) maka tindakan mengabungkan ia dengan niat puasa sunat mungkin boleh merosakkannya kepastiannya. Kerana itulah ulama yang mengizinkannya mencadangkan agar diniat puasa qadha sahaja, adapun syawwal itu dipendam sahaja dengan harapan Allah menerimanya.
Bagaimanapun, ulama yang mencadangkan ini jelas menyatakan bahawa tindakan menggabungkannya tetap mengurangkan pahala sunat syawwal ini kerana tidak diniat dan tidak dilakukan sepenuhnya (Hasyiah As-Syarqawi ‘ala al-Tahrir, Syeikh Zakaria Al-Ansary, 1/427; naqal dari Min Ahsanil Kalam Fil Fatawa, Atiyyah Saqr, 2/23)

5. Malah ada pula yang berhujjah bahawa amalan sunat tidak boleh ditunaikan sebelum amalan fardu. Demikian menurut Syeikh Abu Raghib al-Asfahani, Syeikh Ihsan Muhammad ‘Aayish al-’Utaibi dan juga di sebutkan oleh Dr Yusof Al-Qaradawi di dalam kitabnya Fiqh Awalwiyyat. Ini ada asasnya kerana berdasarkan hadith Nabi SAW
من صام رمضان ثم أتبعه ستاً من شوال فكأنما صام الدهر
Ertinya: “Barangsiapa telah berpuasa Ramadan kemudian diikuti dengan 6 hari dari dari Syawwal (puasa) maka ia adalah seperti (pahala) puasa ad-Dahr (setahun)” (Riwayat Al-Bukhari, no 6502).

6. Kita dapat melihat penggunaan ‘fe’il madhi’ iaitu ‘past tense’ bagi puasa Ramadan, mungkin sahaja boleh membawa makna sesiapa yang belum lengkap puasa Ramadannya perlulah melengkapkan dahulu, kemudian barulah mereka layak bagi mendapat peruntukan pahala sunat Syawwal.

7. Hujjah ulama yang mengharuskannya adalah hadith
” Sesungguhnya amalan itu berdasarkan kepada niat, dan bagi seseorang apa yang diniatkan.” (Riwayat Bukhari, no 1, 1/12)
Ia dilihat agak umum, memang benar apa yang diniatkan adalah penting, tetapi niat mempunyai kaedah dan cara-caranya bagi diterima, contohnya seperti niat solat yang di cadangkan di dalam mazhab Syafie dimulakan semasa lafaz takbiratul ihram di sebut, jika tidak niat itu tidak dikira. (Rujuk Al-umm, hlm 78, cet Baytul Afkar; Rawdhah At-Tolibin, An-Nawawi, cet Baytul Afkar, hlm 103).
Justeru, niat juga ada displinnya dan tidak boleh di buat sesuka hati di dalam ibadah.

Kesimpulan
Kesimpulan dalam yang mengutarakan perbincangan yang terbatas ini :
Elok sangat tidak digabungkan dan elok sangat didahulukan yang wajib (qadha) daripada sunat (syawwal);

Pandangan yang membolehkan saya anggap sebagai rukhsah “keringanan” bagi mereka yang mempunyai kesukaran kerana uzur dan tidak mampu untuk mengasingkannya. Antara ulama yang membolehkan untuk menggabungkannya adalah beberapa ulama dari mazhab Syafie (Mughni al-Muhtaj, 1/602), Assembly of Muslim Jurists in America (AMJA), Syeikh Atiyyah Saqar, panelis fiqh Islam online.net dan beberapa yang lain.

Sekian
_________

*Tambahan
  • (Mazhab Syafie)
Niat puasa enam tidak boleh disekalikan dengan puasa qadha.
Imam as-Syafie di dalam kitab muktabarnya al-Umm ketika mensyarahkan bab 'Innamal a'malu binniat (setiap amalan dengan niat) menyebut hendaklah dibezakan ibadah puasa ramadhan, puasa nazar, puasa kafarat, puasa qadha' dan puasa tatawwu' (sunat).
  •  Imam Jalaluddin as Syuyuti di dalam kitab al Isybah juga berpendapat demikian hendaklah diasingkan puasa Ramadhan, atau nazar atau puasa sunnat.
  • MANAKALA jawapan [Fataawa al-Lajnah al-Daa’imah, 10/383] dalam masalah ini seperti berikut:
"Alhamdulillah. Tidak ada salahnya berpuasa Isnin-Khamis untuk mengqadha' puasa Ramadhan yang tertinggal, dengan syarat puasa dilakukan dengan niat mengqadha puasa...... Mudah-mudahan (moga2) anda mendapat 2 ganjaran sekali, ganjaran melakukan Qadha' dan ganjaran melakukan puasa sunat, dan fadhilat yang Allah berikan itu luas. Walaupun jika anda hanya mendapat ganjaran mengqadha' puasa, ia adalah memadai, kerana mengqadha' puasa adalah lebih mustahak dari melakukan puasa sunat. Akan tetapi jika kamu berniat melakukan puasa sunat dan tidak berniat melakukan qadha', maka kamu masih belum lagi memenuhi tuntutan kefarduan. Maka masih lagi wajib melakukan qadha' puasa Ramadhan. Wa Allahu 'alam dan selawat dan salam kepada Nabi Muhammad saw dan keluarganya."
  • AKAN TETAPI, 
jika terdapat masa yang sangat pendek (takut tertinggal peluang menunaikan puasa 6), berbanding dengan puasa qadha' yang banyak; seperti didalam kes wanita yang panjang haidhnya, dibenarkan melakukan puasa enam hari didalam bulan Syawwal, dan kemudian mengqadha'nya sebelum menjelang Ramadhan yang akan datang. Syeikh Ibn Utsaimin mengatakan ini merupakan pandangan yang lebih kepada kebenaran.

[Sharh al-Mumthi' 6/448].
  • Berkenaan persoalan tentang mestikah puasa enam Syawwal itu BERTURUT-TURUT SELEPAS HARI RAYA ATAU TIDAK? 
Jawapan Lajnah Fatwa Tetap Arab Saudi dalam persoalan ini seperti berikut:
“Tidak semestinya dia berpuasa terus selepas hari raya. Bahkan harus untuk dia memulakan sehari atau beberapa hari selepas hari raya. Samada dia hendak berpuasa bersambungan ataupun berpecah-pecah dalam bulan Syawwal. Ia berdasarkan apa yang mudah baginya. Perkara ini luas (pilihannya)”. (Fatawa al-Lajnah al-Daimah li al-Buhuth al-‘Ilmiyyah, 10/391).
 Wallahualam.

Sunday 8 August 2010

Kurniaan-kurniaan Ramadhan

Abu Hurairah ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Umatku telah dikurniakan dengan lima perkara yang istimewa yang belum pernah diberikan kepada sesiapa pun sebelum mereka. Bau mulut daripada seorang Islam yang berpuasa adalah terlebih harum di sisi Allah daripada bau haruman kasturi. Ikan-ikan di lautan memohon istighfar (keampunan) ke atas mereka sehinggalah mereka berbuka puasa".

Allah mempersiapkan serta menghiasi jannah yang khas setiap hari dan kemudian berfirman kepadanya: "Masanya telah hampir tiba bilamana hamba-hambaKu yang taat akan meninggalkan segala halangan-halangan yang besar (di dunia) dan akan mendatangimu."

Pada bulan ini syaitan-syaitan yang durjana dirantaikan supaya tidak menggoda mereka ke arah maksiat-maksiat yang biasa mereka lakukan pada bulan-bulan selain Ramadhan. Pada malam terakhir Ramadhan (orang-orang yang berpuasa ini) akan diampunkan." Maka sahabat-sahabat Rasulullah SAW pun bertanya: "Wahai Pesuruh Allah, adakah itu malam lailatul Qadar?" Dijawab oleh Rasulullah SAW: "Tidak, tetapi selayaknya seorang yang beramal itu diberi balasan setelah menyempurnakan tugasnya."

Hadith 2
Ubadah Bin Somit ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda pada suatu hari ketika Ramadhan hampir menjelang: "Telah datang kepadamu bulan Ramadhan, di mana Allah melimpah ruahkan di dalamnya dengan keberkatan, menurunkan rahmat, mengampuni dosa-dosa kamu, memakbulkan doa-doa kamu, melihat di atas perlumbaan kamu untuk memperolehi kebaikan yang besar dan berbangga mengenaimu di hadapan malaikat-malaikat. Maka tunjukkanlah kepada Allah Taala kebaikan dari kamu. Sesungguhnya orang yang bernasib malang ialah dia yang dinafikan daripada rahmat Allah pada bulan ini."

Hadith 3
Abu Sa'id Al Khudri ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Setiap hari siang dan malam pada bulan Ramadhan, Allah Tabaraka wa Taala membebaskan begitu banyak sekali roh daripada api neraka. Dan pada setiap orang Islam pada setiap hari siang dan malam doanya pasti akan diterima."

Hadith 4
Abu Hurairah ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Terdapat tiga jenis orang yang doa mereka tidak ditolak; doa daripada orang yang berpuasa sehinggalah dia berbuka puasa; imam (penguasa) yang adil, dan orang yang dizalimi yang kerana doanya itu Allah mengangkatnya melepasi awan dan membuka untuknya pintu-pintu langit dan Allah berfirman: "Daku bersumpah demi kemuliaanKu, sesungguhnya Daku pasti menolongmu walaupun pada suatu masa nanti."

Hadith 5
Ibn Umar ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya Allah dan para malaikatNya mengirim rahmat ke atas mereka yang memakan sahur."

Hadith 6
Abu Hurairah ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa berbuka satu hari di siang hari bulan Ramadhan tanpa alasan yang wajar (disegi syariah) atau sakit yang kuat, tidak akan dapat menampung atau mengganti hari tersebut walaupun akan berpuasa sehingga ke akhir hayatnya."

Monday 19 July 2010

Anggur, Sultan Muhammad Al-Fateh & Tenteranya

Satu ketika, dalam perjalanan menuju ke Kota Constantinople, tentera Sultan Muhammad al-Fateh melalui sebuah ladang anggur yang besar dan sedang masak ranum. Namun, sebelum melalui ladang tersebut, Sultan Muhammad al-Fateh telah mengingatkan tenteranya supaya jangan diambil anggur itu walau sebiji. Perjalanan diteruskan hingga di suatu tempat mereka berehat.

Setelah didirikan khemah dan berehat, pembantu al-Fateh keluar dari khemah al-Fateh dengan wajah yang sugul dan memanggil semua tentera berkumpul. Dikatakan bahawa al-Fateh telah jatuh gering. Maka setelah diteliti oleh doktor, ubat yang diperlukan adalah sebiji anggur.

Maka dia bertanya kepada seluruh tentera, siapakah yang mempunyai buah anggur kerana jika tidak ada mungkin al-Fateh akan terus gering dan bakal mangkat. Malangnya, tiada seorang pun tenteranya mempunyai buah anggur. Lalu tahulah al-Fateh, bahawa tenteranya bukan sahaja kuat fizikal, malah rohani mereka jua. Benarlah, tidak seorang pun dari tenteranya yg mengingkari perintahnya.


Maka keluarlah al-Fateh dari khemah dan memuji tenteranya dan menerangkan kepada mereka akan maksud sebenar dan mungkin anda juga pernah mendengar akan kisah kaedah al-Fateh memilih siapa dalam kalangan tenteranya yang layak berada di barisan hadapan.